Senin, 30 Agustus 2010

PerJuangan Mujahid

Aku ingin meniti jalan kebenaran


tanpa tergelincir dalam penyimpangan.

Namun aku dihadapkan dengan beragam pilihan.



Aku melihat segolongan orang mengaku diri mereka Salafi

yang berusaha meluruskan masyarakat agar mengikuti sepenuhnya Kitab Suci,

kerana masyarakat hanya faham perkara ibadah

dan kurang memahami persoalan aqidah

akhirnya mereka terperangkap dalam masalah khilafiyah

dan meninggalkan persoalan- persoalan yang lebih besar.

Ideologi Politik menjadi kurang penting bagi mereka,

mereka cenderung mendukung ideologi penguasa

demi memudahkan penyebaran fahaman. Aku melihat seorang pejuang Islam dalam parti Islam

yang berusaha menegakkan hukum Islam

dan menyedarkan masyarakat pentingnya melaksanakan keseluruhan Islam,

tetapi tidak ku lihat pada dirinya keadilan dan kesaksamaan,

terlalu banyak diperdengarkan khutbah dan kurang perenungan dan pemantapan keilmuan.

Akhirnya suara menjadi matlamat, menang dalam pilihanraya menjadi tujuan,

kepentingan kelompok menjadi keutamaan, kebencian bertaburan,

segala perkara menjadi persoalan politik yang dilihat dari sudut kepentingan golongan.



Disudut yang berlawanan,

aku melihat seorang Tabligh yang tidak mahu peduli tentang politik dan pemerintahan.

Yang penting katanya iman ditingkatkan, pengorbanan dan khuruj diperlukan

agar masyarakat kembali kepada al-Rahman.

Namun rasionaliti diketepikan,

Islam dibatasi pada hal peribadatan,

tidak dihubungkan dengan pemikiran, pendidikan, sistem perundangan

apalagi pandangan alam dan isu-isu ketamadunan.



Aku melihat segolongan ulama' dan dai yang suka mendekati para penguasa,

kononnya supaya jalan dakwah terbuka luas,

peduli apa tentang ideologi perjuangan,

katanya yang penting kita melaksanakan tugas.

Namun hakikatnya godaan dunia telah menyihir pandangan,

hidup baginya hanyalah perlumbaan

untuk mencipta nama, mengumpul harta benda, dan mendapat pangkat dan penghargaan.

Mereka lupa bahawa mereka adalah pewaris para anbiya'.

Sebagai pewaris nabi mereka seharusnya tidak rela menjadi alat kekuasaan.

Mereka lupa perjuangan Rasulullah, pembinaan generasi ulul albab,

pencerdasan bangsa dan pemerkasaan ummah.

Merekalah, kata al-Ghazali, punca kerosakan rakyat dan penguasa.

Demi mempertahankan apa yang mereka miliki

atau untuk mendapatkan apa yang mereka inginkan

mereka sanggup membenarkan yang salah dan menyalahkan yang benar.

Di antara mereka ada yang keliru dan mengelirukan, sesat dan menyesatkan.

Kerana itu aku sedar bahawa yang penting bukan label apa yang kita pegang,

tetapi kepastian bahawa kita berada pada barisan dan jalan kebenaran.

Hanya dengan ilmu yang benar dapat kucapai kepastian dan keyakinan.



Menyedari permasalahan yang kompleks ini dan banyaknya penyimpangan,

maka aku memilih untuk tidak ikut hanyut dalam segala bentuk permainan.

Aku mendambakan persatuan dan perpaduan,

agar umat ini tidak terus bermusuhan dan bercakaran.

Namun dengan sikap ghuluww dan fanatisme yang melampau

Maka persatuan umat hanya menjadi khayalan.

Bukankah lebih baik menahan diri dan beradab dengan para guru

Mengapa lebih suka berhusnuzzan dengan musuh

daripada berhusnuzzan dengan saudara seiman.

Ada dua penyebab kehancuran telah Nabi kita ingatkan:

sikap melampau dalam beragama (al-ghuluww fi al- din)

dan sikap menyembunyikan kebenaran (kitman al-haqq).



Jalanku adalah jalan kebenaran

bukan jalan fanatisme, taqlid atau kerancuan dan keraguan.

Aku berusaha bersungguh-sungguh untuk memperjuangkan kebenaran,

keadilan, menentang kebatilan, kezaliman, dan penyelewengan,

dengan kaedah dan ilmu yang benar, diperkuat dengan iman dan ketaqwaan.

Aku memilih berjuang dengan mencontohi dan mengambil panduan

daripada Rasulullah saw, para Sahabat ra

dan juga meneladani jejak para ulama’ al-rasikhin al-’amilin,

yang benar dan tinggi ilmunya serta beramal dengan penuh keinsafan.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar